Al-Qur'an tidak pernah sunyi merakam kisah para nabi, orang-orang soleh terdahulu dalam melawan kezaliman pemerintah.
Al-Qur'an tak pernah mengasuh kita agar mengambil sikap kompromi dengan pemerintahan yang zalim. Kalau kita punya kekuatan, maka lawanlah sehingga tumbang pemerintahan tersebut. Tetapi, jikalau kita tidak mampu melawan pemerintahan zalim itu kerana kita ada kelemahan, maka tiada pula al-Qur'an menyuruh kita bergabung dan menyerah kalah kepada pemerintahan tersebut. Tuhan menyebutkan pelbagai kisah berhubung kaedah melawan jika musuh yang zalim itu ternyata jauh lebih kuat daripada kita. Iaitu, kita perlu melarikan diri, jangan sampai ditahan musuh.
Kata-kata, "If you cannot beat them, then join them.." (kalau anda tak boleh melawan mereka, maka bergabunglah dengan mereka.. atau serang mereka daripada dalam dengan menjadi sebahagian daripada mereka) adalah kata-kata yang tiada asasnya dalam agama kita.
Jika demikian, bagaimanakah caranya melawan pemerintahan yang zalim itu jika telah lumpuh segala kekuatan kita?
Maka, jawapannya ialah, dengan cara melarikan diri, jangan sampai kita ditangkap jentera penguasa yang akhirnya menyebabkan kita bergabung dengan kezaliman penguasa setelah dibasuh fikiran dengan tawaran-tawaran yang mengiurkan - harta, pangkat dan perempuan.
Mungkin, sengaja Allah s.w.t bangkitkan kisah Ashabul Kahfi dalam Surah al-Kahfi itu. Mereka ini telah 'dirugikan' masa mereka di dalam gua itu selama 700 tahun. Walaupun ada beberapa pendapat yang mempertikai mengenai berapa ratus tahun mereka ditidurkan, namun hal itu tidak penting. Yang penting adalah, al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa dalam perjuangan ini, berapa banyak masa yang terbuang sekali pun, tetaplah dianggap bernilai, berkualiti dan bermutu dalam pandangan Tuhan, walaupun manusia berasa suatu kerugian hatta terpenjara 17 tahun seperti Said Zahari.
Kita juga boleh berkata, kenapa Ashabul Kahfi habiskan masa berlindung dalam gua sampai 700 tahun itu? Apakah yang Ashabul Kahfi dapat? Ketakutan? Perpisahan daripada keluarga?
Dalam tempoh itu, ketujuh-tujuh pemuda itu mungkin telah bercerai-berai dengan ahli keluarga, dan terputus kasih sayang isteri dan anak-anak jika mereka yang bernikah. Dalam tempoh itu, ada cicit dan keturunan mereka yang mungkin sudah membesar dan pernah mendengar kisah wali 7 yang lari ke gua, tapi tidak pernah bertemu kelibat mereka itu.
Mungkin sesetengah mereka menganggap kisah itu cuma sekadar serpihan kisah dongengan dan ada pula yang meyakini kewujudan 7 pemuda yang hilang dalam gua itu. Mereka cuma tidur, ditidurkan dan tidak pernah keluar berdakwah manusia ke jalan Tauhid, sekadar menyimpan keimanan di dalam dada selama 700 tahun.
Tapi, lihatlah bagaimana Allah s.w.t telah memuliakan kisah mereka dalam al-Quran, sedangkan ada watak Zulkarnain, seorang raja yang hebat dalam siri penaklukannya di belahan dunia Timur, Barat, ada pula watak Musa dan Khidhir, dua rasul yang tak kurang hebat peranan mereka dalam dakwah. Namun, Allah julang nama Ashabul Kahfi sebagai nama surah lalu Rasulullah menyeru umatnya membaca al-Kahfi setiap hari Jumaat atau pada setiap malam Jumaat. Tidur mereka adalah tidurnya seorang pejuang. Tidur mereka tidur perjuangan. Imam as-Syafie dapat menyelesaikan seribu satu macam persoalan fiqah masyarakat lewat tidurnya. Tidur mereka ini tidur yang berkualiti.
Sesiapa yang membaca Al-Kahfi, tentu menyebut dan mengulang-ulang kisah mereka ini di lidah dan meresaplah api kesedaran di dalam dada terhadap perjuangan mereka bagi menyelamatkan iman itu. Bukankah Ashabul Kahfi telah menjadi wira yang diangkat kisah mereka itu sebagai pengetahuan umat Nabi Muhammad s.a.w? Kisah mereka telah menjadi iktibar kepada umat terbaik; umat Muhammad!
Ashabul Kahfi yang mendiami gua itu selama 700 tahun jauh lebih lama terperap berbanding penjara Outram, Singapura yang memerangkap jiwa seorang tahanan ISA, Said Zahari selama 17 tahun. Surah itu sengaja dinamakan Al-Kahfi dengan sebab wujudnya kisah pemuda Al-Kahfi walaupun dalam surah tersebut termuat kisah Raja Zulkarnain yang hebat, kisah Khidhir a.s mendidik Musa a.s yang mana kedua-duanya bertaraf nabi.
Kalau dilihat sekali imbas, tentulah jasa Raja Zulkarnain yang lebih besar kerana penguasa yang adil itu telah mengembangkan risalah Tauhid di sebelah Timur dan Barat dengan lebih luas lagi. Demikian juga, Nabi Musa a.s yang berdakwah terhadap umat Bani Israel yang jauh lebih ramai lagi. Sedangkan Ashabul Kahfi cuma memendam keimanan, memelihara aqidah Tauhid. Manakala, jumlah mereka tidaklah bertambah, sebaliknya kekal seramai tujuh orang sahaja.
Barangkali, mereka itulah 'wira yang sebenar', 'pejuang yang tulen' walaupun Raja Zulkarnain itu kelihatan gagah di sudut pandang mata kita, yang meluaskan empayar Tauhid! Bagi Raja Zulkarnain, tiada lagi yang perlu ditakutkan. Baginda mempunyai kekuatan tentera, tiada raja lain yang dapat memaksanya agar membuang aqidah Tauhidnya, sebaliknya baginda punya kekuatan untuk mengarahkan penduduk lain memeluk ajaran risalah Tauhid.
Demikian Nabi Musa dan Nabi Khidhir yang masing-masing mereka telah dibekalkan mukjizat membelah lautan, tongkatnya berubah menjadi ular sehingga mengalahkan sihir orang-orang Fir'aun serta ilmu kerohanian, ilmu laduni sehingga mengetahui latarbelakang di sebalik sesuatu peristiwa. Sedangkan pemuda Al-Kahfi itu tidak dikurniakan kekuatan seperti raja-raja. Mereka juga bukanlah rasul-rasul yang dikurniakan mukjizat untuk menundukkan kezaliman penguasa seperti Musa a.s.
Mereka hanyalah pemuda biasa seperti kita, yang enggan berkompromi dengan kezaliman raja, enggan tunduk kepada sikap kekejaman raja pada zaman mereka. Lalu, mereka melarikan diri, hidup terasing daripada mata manusia. Ditidurkan selama berapa ratus tahun semata-mata kerana mahu memelihara iman dan kepercayaan yang mereka yakini selama ini. Itu sahaja inti perjuangan mereka. Enggan ditahan, enggan ditangkap dan tidak rela berkompromi dengan kekejaman dasar pemerintahan yang zalim.
Tapi, siapalah yang tahu hal mereka. Bagi Tuhan. Kedudukan mereka di sisiNya sangatlah tinggi.
Ia suatu surah yang sunat dibaca oleh umat Islam dan 'wajib' dibaca oleh mereka yang anti ISA!
Post a Comment